Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP menyambut baik gesaan Ahli Majlis Kerja  Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menganjurkan agar ahli UMNO memilih calon DAP sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Sebagai timbal balik, Setiausaha Agungnya, Anhthony Loke Siew Fook berkata, parti itu juga akan menggesa agar ahlinya mengundi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

“Itu kenyataan logik. Apabila kita kerjasama sudah tentu rakan dalam kerjasama akan sokong. Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti juga akan meminta ahlinya undi calon UMNO khususnya.

“Jadi bagi saya itu satu kenyataan yang logik, sudah tentu bila kita kerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri, jadi kita sudah tentu berterima kasih kepada Datuk Ahmad Maslan kerana membantu kita,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Anthony Loke berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Maslan bahawa ahli UMNO perlu sedia mentaati arahan parti termasuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) yang terpilih mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pada Jumaat lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, ahli parti perlu mengetepikan sentimen masing-masing dan sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kenyataan Ahmad Maslan itu disifatkan bukan hanya untuk mengundi calon DAP malah calon parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Saya rasa mesej itu bukan sahaja kepada calon DAP tapi kepada calon PH, sama juga dengan pemimpin PH yang akan berkempen nanti kita akan kempen supaya penyokong PH undi claon BN di mana calon PH tidak bertanding.

“Jika BN yang bertanding kita minta penyokong PH alihkan sokongan terhadap BN, jadi itu kenyataan itu logik,” katanya. – MalaysiaGazette