Gambar hiasan

KADAR pengangguran kini 3.5 peratus pada suku pertama 2023. Tiga bulan lalu, kadar pengangguran pada 3.6 peratus pada suku keempat 2022.

Kini 588,700 bilangan yang menganggur telah berkurangan dari 599,600 pada suku keempat tahun 2022. Ini bermakna 10,900 rakyat Malaysia yang menganggur telah memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan lalu.

Penganalisis berpandangan seandainya trending positif ini terus kekal pada suku kedua sehingga suku keempat sepanjang tahun 2023 ini, unjuran yang dijangka secara anggarannya seramai 43,600 rakyat Malaysia bakal memperolehi pekerjaan.

Kalau negara terus makmur di bawah Kerajaan Perpaduan berteraskan Malaysia Madani, seramai kira-kira 218,000 orang akan mendapat pekerjaan dalam tempoh lima tahun mendatang ini, sekaligus negara Malaysia dijangka mencatatkan kadar pengangguran di bawah 2.5 peratus.

Jika dilihat kadar pengangguran antara negeri juga menurun yang selari dengan penurunan kadar pengangguran nasional.

Bagi suku pertama 2023, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu sebanyak 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1%), Pulau Pinang (2.3%) dan Negeri Sembilan (2.5%).

Ekonomi negara kekal kukuh dan stabil pada suku pertama 2023 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus.

Kejayaan ini adalah atas kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan terutama yang diterajui Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KSM adalah menerusi PERKESO, Talentcorp, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corporation) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Penganalisis tabik di atas kesungguhan dan usaha KSM ini bersama agensi-agensi. Kesungguhan yang pertama adalah menyediakan Portal pekerjaan MyFutureJobs untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan.

• Portal www.myfuturejobs.gov.my merupakan sebuah platform secara maya dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kompetensi, pengalaman, gaji dan lainlain mengikut keperluan majikan.

• Seramai 793,086 orang pencari kerja berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023.

• Dalam merancakkan penawaran pekerjaan majikan kepada pencari kerja, Perkeso melaksanakan program-program temuduga di semua Pejabat Perkeso negeri secara harian dan mingguan serta melaksanakan Karnival Pekerjaan yang berskala besar.

Penganalisis dimaklumkan sebanyak 4,130 program disasarkan dan setakat April 2023, sebanyak 1,127 program dilaksanakan dengan jumlah seramai 5,121 orang pencari kerja berjaya mengisi kekosongan pekerjaan.

Di samping itu, kesungguhan kedua kementerian sentiasa berusaha untuk meningkat dan memperkukuh kompetensi sumber manusia bagi menyokong peralihan pekerjaan masa depan dan penggunaan automasi serta mekanisasi sekali gus mengurangkan kebergantungan buruh asing.

Sudah tiba masanya peranan dan fungsi Majlis TVET Negara (MTVET), disebarluaskan. Kerajaan perlu berusaha melaksanakan lebih banyak Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta yang meliputi bidang-bidang latihan demi mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran (mismatch) dan isu pengangguran dalam kalangan kalangan pelajar TVET.

Penganalisis pernah mendengar ada jua ahli Parlimen Dewan Rakyat pernah menyuarakan supaya graduan Kolej Vokasional (KV) yang mempunyai diploma kemahiran Tahap 4 dalam pelbagai bidang hendaklah diserapkan terus secara fast-track dalam pekerjaan bagi sektor awam, agensi kerajaan dan GLC.

Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pekerja separa mahir dan berkemahiran tinggi seandainya Kerajaan begitu kompeten dalam soal mengurangkan kadar pengangguran, maka modal insan berteraskan TVET ini akan dapat memenuhi pasaran buruh sepenuhnya di negara ini.

Di samping itu, penganalisis mengalu-alukan kesunguhan ketiga di mana langkah TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia yang dilihat sangat berjaya melaksanakan aktiviti seperti Program Young Employable Students (YES!). Seramai 2,407 peserta berjaya mengikuti program sehingga April 2023.

KSM melalui TalentCorp mengambil inisiatif melalui Program Kepulangan Pakar (REP) serta inisiatif baharu, Malaysia@Heart (MyHeart) untuk mendorong rakyat Malaysia di luar negara yang mempunyai kepakaran tinggi pulang tanah air.

Bagi merapatkan jurang kemahiran pula, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar sebenarnya seorang yang cukup praktikal dalam soal pekerja kerana beliau sendiri sentiasa membangkitkan keperluan kelengkapan kemahiran, idea dan ilmu yang dinamik baig mendepani cabaran pekerjaan masa kini pada setiap mesyuarat mingguan kementerian dan agensi.

Umpamanya program latihan semula (re-skilling), program peningkatan kemahiran (up-skilling) serta pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) dalam membantu golongan pencari pekerja dengan kemahiran bersesuaian mengikut pasaran buruh semasa.

Ini selalu disuarakan Sivakumar malahan kesungguhan keempat menerusi HRD Corp turut menubuhkan Placement Centre melalui portal https://hpc.hrdcorp.gov.my/ berperanan sebagai plarform untuk memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan yang tersedia oleh majikan.

Penganalisis memuji agensi HRD Corp yang sentiasa cakna dengan keperluan dan permintaan pasaran buruh di negara ini. Program Latihan Kemahiran Digital untuk golongan rentan (kendiri) di bawah HRD Corp telah membuktikan seramai 5,465 pelatih berjaya mengikuti kursus latihan ini.

Harap sangat kerajaan terus memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar pengangguran negara dan meningkatkan kemahiran pekerja di negara ini.

Rakyat di luar sana terutama kumpulan yang menganggur ini berharap benar Bajet 2023 melaksanakan inisiatif Program Pasaran Buruh Aktif dilancarkan 1 Mei lalu membawa limpahan positif menerusi Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantis TVET dan Lepasan Sekolah atau Kerjaya TVET yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM 600 sebulan untuk tempoh tiga bulan kepada majikan yang menggajikan graduan TVET.

Tidak terkecuali program Bina Kerjaya Pekerja Informal Gig Riders yang menyediakan elaun RM 300 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada pekerja Gig yang aktif menjalani latihan kemahiran untuk mendapat pekerjaan stabil dalam sektor formal.

Pelanjutan Insentif Penggajian Secara Bersasar menerusi Program Daya Kerjaya yang membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar daripada kalangan belia yang lama menganggur dan golongan rentan seperti Orang Asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol, bekas banduan dan sebagainya.

Yang penting majikan juga perlu memberi sokongan padu terhadap setiap inisiatif kementerian. Difahamkan, majikan yang berjaya melaksanakan pengambilan pekerja baru di bawah kategori ini layak mendapat sehingga RM 1, 800 bagi setiap individu. Moga usaha murni kerajaan dan kementerian terus diberikan kemudahan dan kelancaran demi kesejahteraan rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette

AHMAD FAUZI MUSTAFA

Penulis ialah penganalisis sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik, satu badan pemikir yang memberi tumpuan terhadap isu kesejahteraan rakyat, sosio-ekonomi, kesihatan awam dan keseimbangan pembangunan wilayah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast