Kedua-dua tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39 dan isterinya, Noor Bayah Ab Manaf, 31 dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 20 kotak susu bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya, Februari lalu.

MELAKA – Dua ahli sindiket curi susu formula yang juga pasangan suami isteri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, selepas mengaku bersalah mencuri 20 kotak susu bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya, di sini, Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39 dan Noor Bayah Ab Manaf, 31.

Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggannya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didapati dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1, 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2, 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu dilakukan di Pasar Raya AEON, Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di sini antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dalam hujahannya memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan bukan atas desakan kesempitan hidup, sebaliknya telah menjadi kebiasaan pasangan itu.

Menurutnya, modus operandi kedua-dua tertuduh adalah menjual susu formula yang dicuri itu kepada pihak ketiga berdasarkan pengakuan bersalahnya dalam pertuduhan sebelum ini yang membeli susu berkenaan daripada pasangan terbabit.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malik dalam rayuannya bagaimanapun merayu hukuman penjara dijalankan dari tarikh ditangkap selain tertuduh perlu menyara empat anak dan Noor Bayah kini sedang mengandung tiga bulan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian mengarahkan setiap tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh ditangkap pada 16 Februari lalu. – MalaysiaGazette