S. Sevasangar, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas enam pertuduhan penipuan penjualan lot tanah tidak wujud bernilai hampir RM100,000 sejak Mei tahun lalu.

ALOR GAJAH – Seorang penyelia syarikat pengendali sisa pepejal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di atas enam pertuduhan penipuan penjualan lot tanah tidak wujud bernilai hampir RM100,000 sejak Mei tahun lalu.

Tertuduh, S. Sevasangar, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh  didakwa memperdayakan enam individu iaitu dan dua rakan sekerjanya dengan menawarkan penjualan tanah tidak wujud di sekitar Alor Gajah dan Jasin.

Perbuatan itu telah mendorong enam mangsa lelaki berusia antara 34 hingga 53 tahun membayar antara RM2,051 hingga RM33,120 secara berperingkat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Pengkalan Indah dan kedai dua ringgit di Pengkalan, Alor Gajah antara Mei 2022 hingga Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kesemua mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM98,151 ditawarkan penjualan lot tanah dengan harga murah dan akan memperoleh keuntungan lumayan jika tanah tersebut dijual dengan harga lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan tertuduh diikat jamin RM57,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana isteri tidak bekerja, perlu menyara tiga anak dan menjaga ibunya yang mengidap sakit jantung.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Majistret Nurul Bahiyah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini  sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast