Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pas harus belajar untuk bertanggungjawab ke atas kemiskinan dan kemunduran negeri bawah pentadbirannya seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kegagalan pemerintah di tiga negeri itu memaksa anak muda merantau ke negeri lain termasuk Pulau Pinang yang menjanjikan peluang pekerjaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, walaupun Pulau Pinang lebih kecil daripada tiga negeri ‘ombak hijau’ itu namun pembangunan ekonominya jauh lebih baik.

Katanya, negeri itu mencipta rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada 2021 dengan kadar 6.8 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Manakala sumbangan kepada KDNK pula meningkat kepada kadar 7.1 peratus bagi tahun yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini kononnya negeri itu ‘diarahkan’ menjadi miskin hanyalah cubaan untuk menutup kelemahan kepimpinan Pas menjelang PRN tidak lama lagi.

“Amat pelik melihat data yang merekodkan kemiskinan mutlak di Kedah yang tinggi walaupun negeri itu mempunyai hab teknologi Kulim Hi-Tech Park dan pusat pelancongan terkemuka dunia seperti Langkawi,” katanya.

Setakat 2019, kadar kemiskinan mutlak di Kedah adalah 8.8 peratus, Kelantan (12.4 peratus) dan Terengganu (6.1 peratus), sebaliknya, kadar kemiskinan mutlak di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing 1.2 peratus dan 1.9 peratus.

“Hakikatnya, kerajaan Pas Kedah tidak memainkan peranan secukupnya untuk membangunkan industri tempatan dan menarik masuk pelaburan antarabangsa yang berkualiti,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaburan yang masuk ke Kulim Hi-Tech Park dicapai atas usaha agensi kerajaan persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Manakala Langkawi, katanya, telah dimajukan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi.

“Sejauh mana pula usaha kerajaan Pas Kedah dalam menarik pelaburan sebegini? Kenyataan Sanusi seolah menyalahkan industri penanaman padi atas kemiskinan Kedah ibarat menyalahkan pesawah atas kemunduran negeri itu yang berpunca daripada kegagalan pentadbiran Pas.

“Sanusi mengeluh Kedah terpaksa menyediakan 130,000 hektar tanah untuk penanaman padi iaitu 13.8 peratus keluasan negeri tersebut. Namun, ini tidak jauh berbeza berbanding Pulau Pinang, di mana tanah seluas 12,100 hektar ditanam padi iaitu 11.5 peratus daripada jumlah keluasan negeri itu,” kata beliau.

Faiz berkata, lebih mengagumkan, Pulau Pinang mencatatkan purata penghasilan padi tertinggi di Malaysia pada 2022 mengalahkan Kedah.

Jika Pulau Pinang boleh menjadi salah satu penyumbang ekonomi utama negara tanpa mengabaikan sektor pertanian, mengapa perlu Sanusi mengeluh, soalnya.

“Justeru, rakyat Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu menilai betul-betul parti manakah yang harus dipilih bagi mentadbir di peringkat negeri kerana kesejahteraan hidup rakyat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri.

“Satu undi untuk Pas dan PN adalah satu undi untuk anti-kemajuan, manakala kesungguhan politik kerajaan perpaduan membangunkan ekonomi negara dan kepesatan ekonomi kerajaan PH di Pulau Pinang dan Selangor perlu dijadikan sandaran PRN ini.

“Sanusi perlu berhenti mencari helah dan salah orang lain serta belajarlah untuk muhasabah diri yang sangat dianjurkan dalam ajaran Islam,” katanya. – MalaysiaGazette