Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada Perikatan Nasional (PN) kerana menuduh gabungan itu menerima judi semasa kempen pilihan raya umum yang lalu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, permohonan maaf itu selaras dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

“Beliau (Azalina) menjelaskan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan mendapati tuduhan terlalu umum dan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan itu.

“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat oleh Anwar selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairil Nizam berkata, ia bukti jelas kerajaan PH-BN pimpinan Anwar sebagai menipu.

“Kami menggesa Anwar memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu,” katanya.

Sebagai rekod, pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dalam satu sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya bebererapa parti datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar bercakap demikian di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, dengan menyebut dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya. – Malaysia Gazette