David Juan Kee Hean, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk muka dan merosakkan telefon bimbit kekasihnya.

MELAKA – Tindakan seorang lelaki menumbuk muka dan merosakkan telefon bimbit kekasihnya kerana tidak dapat meminjam kereta membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, David Juan Kee Hean,36, selepas membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34, secara menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri mangsa.

Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 10 malam 1 Julai 2022 di dalam sebuah kereta jenis Honda City di hadapan rumahnya di Jalan Kenangan 1/4, Taman Kenanga Seksyen 1 dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didapati bersalah menyebabkan kerosakan dan kerugian ke atas telefon bimbit Samsung milik mangsa pada tarikh, masa dan di tempat sama di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak menumbuk muka, mata kanan dan siku kiri mangsa sehingga luka selepas wanita terbabit enggan meminjamkan keretanya dan menolak untuk menghantarnya ke kedai.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu agar hukuman ringan dengan alasan telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana faktor kecederaan dan kerugian RM240 dialami mangsa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mazana menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala denda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua. – MalaysiaGazette