Muhammad Asyraf Majid, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan, tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asyraf Majid, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ketika kejadian, tanpa kerelaannya di sebuah rumah pangsa di Kampung Padang, Pokok Mangga, di sini, pada kira-kira jam 10.30 malam 5 September 2020.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 30 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon tertuduh tidak dibenarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaran, mencadangkan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri serta seorang anak berusia setahun selain menghidap darah tinggi dan sawan.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast