Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap kepada media selepas hadir ke Bicara Buku Juang Mat Sabu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mendedahkan individu didakwa mewakili Kerajaan Perpaduan yang menawarkan parti Islam itu menyertai pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau sendiri tidak mengenali siapa wakil kerajaan itu dan hanya Abdul Hadi sahaja boleh mendedahkan identiti individu terbabit.

“Itu saya tak tahu, kena tanya dialah, saya betul tak tahu,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Abdul Hadi mendakwa beliau dihubungi beberapa orang kerajaan ajak berjumpa untuk menawarkan Pas supaya menyertai Kerajaan Perpaduan.

Tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti itu tidak sebanyak Pas.

Sementara itu, Mohamad mengingatkan ahli politik supaya berpolitik secara sihat dan tidak menimbulkan provokasi hingga menyebabkan pertembungan fizikal seperti yang berlaku di luar negara.

“Di negara Barat pun boleh dikatakan macam demonstrasi setiap minggu kalau kita pergi ke Hyde Park itu, tidak melambangkan negara itu huru-hara.

“Yang kita tidak mahu sampai kepada pertembungan fizikal, itu boleh menghancurkan sebuah negara.

“Kita dari merdeka sampai sekarang Alhamdulillah sedikit sahaja 13 Mei pertembungan fizikal, lain itu pertarungan fikiran,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mat Sabu suruh dedah nama MP yang bincang dengan PAS. Sabar Mat Sabu… sebab PAS tak MAHU bersama DAP.. tunggu lepas PRN 6 NEGERI bila ANWAR IBRAHIM pasang KABINET baru belum buka PINTU dah tercongok wakil tu… nanti boleh buat postmortem hehehehe
    Sayonara goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.