KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melihat kepada perkembangan terkini membabitkan siling hutang kerajaan Amerika Syarikat (AS) agar dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari ini bagi mengurangkan tekanan terhadap ringgit berbanding dolar negara itu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan perlu menunggu sehingga 6 Jun ini untuk mengetahui keputusan hasil undian kerajaan AS yang ketika ini cuba untuk menyelesaikan isu siling hutang negaranya.
“Apa yang disebutkan oleh Pengerusi SC (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) dalam mesyuarat bersama saya tadi, sekarang ini, pelabur dan mereka terbabit dalam perniagaan memegang dolar AS apabila berlaku stalemate (kebuntuan) mengenai siling hutang di AS.
“Namun apabila siling hutang itu boleh ditingkatkan maka pegangan dan permintaan terhadap dolar AS akan berkurangan menyebabkan tukaran asing antara ringgit dan dolar AS akan berkurangan sekali gus melegakan tekanan terhadap ringgit. Kita harap begitu dalam lima hari dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasmi ke SC di sini hari ini.
Menurut laporan media antarabangsa, hasil undian siling hutang AS telah dilanjutkan ke tarikh akhir baharu pada 6 Jun ini sebelum negara itu berdepan kemelut kehabisan wang jika had hutang tidak dinaikkan. – MalaysiaGazette