Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik negeri utara itu tidak perlu ditakuti oleh mana-mana pihak terutama rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau percaya sebelum kenyataan itu dibuat secara terbuka, Sanusi sudah melakukan kajian secara menyeluruh bukan sahaja daripada aspek sejarah, bahkan undang-undang.

“Saya percaya ianya banyak berkait juga dengan isu undang-undang, bukan sahaja sejarah yang perlu diterokai.

“Saya percaya Menteri Kedah telah menilai dengan sebaik mungkin apa dakwaan beliau itu.

“Jadi saya rasa ianya bukan satu isu yang perlu ditakuti oleh mana-mana,” katanya pada sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali dan Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim.

Isnin lalu, Sanusi menegaskan Pulau Pinang adalah di bawah hak milik Kedah, yang mana ketika ini Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan negeri itu.

Sanusi berkata, sebaliknya Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Mutiara itu masih hak Kedah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semakin hari semakin sayang kepada pemimpin2 berjiwa besar MB Kedah dan Trengganu ni.

    Jom semua bagi sokongan padu kepada pemimpin2 PN.

Comments are closed.