Shaiful Hazizy logo PM Sanusi KXP busuk
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilihat mahu menjadi jaguh dengan menuntut pampasan pengorbanan Kedah memelihara hutan untuk tadahan air.

Namun beliau telah menyembunyikan fakta bahawa tuntutan itu dimulakan sejak puluhan tahun dahulu oleh Menteri Besar dari UMNO, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Malah, katanya,banyak rundingan dan permohonan dibuat sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) seawal pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada 2003 dahulu.

“Malah Allahyarham juga memberi isyarat sekiranya tidak ada apa-apa yang diberikan kepada kerajaan negeri Kedah, beliau akan mempertingkatkan aktiviti pembalakan dengan lebih giat menggunakan kaedah heli harvesting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak itu rundingan bagi perkara tersebut terus diketengahkan oleh kesemua Menteri Besar Kedah daripada BN seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Al-marhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak juga pernah menuntut pampasan RM100 juta berkenaan isu ini. Namun menariknya, jumlah tersebut ditolak mentah-mentah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dengan telah menyifatkan jumlah RM100 juta sebagai tidak logik,” ujarnya.

Isunya, dalam tuntutan ini ialah bukan Kedah sahaja semata-mata yang perlu menjaga hutan bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan, mahu pun bagi tujuan penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), katanya.

Malah, katanya, negeri-negeri lain seperti Pahang dan Perak juga perlu menjaga kawasan hutan masing-masing bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan dan konservasi taman negara.

“Maksudnya, bukan hanya Kedah sahaja yang perlu berkorban memelihara kawasan hutan dan Sanusi bukanlah Menteri Besar Kedah yang pertama yang memperkatakan tentang isu tersebut.

“Lebih buruk lagi, pendekatan yang digunakan Sanusi itu dilihat hanya mengeruhkan keadaan, mencetus kritikan berbaur politik, menimbulkan sentimen kebencian, malah tindakan beliau yang seolah enggan mengiktiraf negeri Pulau Pinang turut dibidas oleh dua rakan sekutunya, Bersatu dan Gerakan.

“Seikhlasnya pada pandangan saya, dalam usaha negeri Kedah untuk mengadakan rundingan mengenai perkara ini, ianya perlu dibuat secara berhemah, bijaksana dan lebih berdiplomasi supaya keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada semua pihak. Secara realistiknya hanya Kerajaan Negeri yang mempunyai pasukan yang sama dengan kerajaan pusat ataupun setidak-tidaknya walaupun berlainan pasukan diplomasi, adab dan profesionalisme adalah taruhan utama,” kata Shaiful Hazizy.

Kaedah Sanusi, menurutnya, yang memilih jalan untuk berkonflik dengan Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan strategi yang sumbang dan hanya akan merugikan negeri Kedah.

Jelas ketika ini sentimen kenegerian, dan kebencian masih lagi menjadi sandaran Menteri Besar bangkrap idea politik, dakwanya. – MalaysiaGazette