Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Mesyuarat ketiga antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan diadakan di ibu negara esok dijangka bagi mendapatkan keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, meskipun proses pengagihan kerusi antara kedua-dua parti itu sudah selesai 95 peratus namun masih ada isu pertindihan kerusi.

Bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan daripada peratusan penyelesaian rundingan tersebut masih terdapat satu dua kerusi ‘bertindih’ susulan mendapati permintaan daripada BN untuk ditandingi.

“Berdasarkan prinsip penyandang kekal menyebabkan berlaku pertindihan pada kerusi-kerusi tertentu.

“Kita percaya perjumpaan yang bakal berlangsung esok akan menjadi mesyuarat terakhir dalam rundingan pengagihan kerusi antara PH dan BN Pulau Pinang.

“Namun, jika tiada keputusan (esok) mungkin perlu diserahkan kepada Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Interaktif Didik Hibur di Hospital Gleneagles di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengapa begitu sukar menyelesaikan pengagihan kerusi tersebut, Kon berkata, setiap rundingan mempunyai kewajaran.

“Rundingan memang begitu, kalau perniagaan satu dua sen pun penting,” katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan Pas

Pada PRU-15 lepas Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN, namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing adalah dalam dua minggu terakhir Jun. – MalaysiaGazette