Presiden Angkasa, Datuk Dr. Abdul Fatah Abdullah bercakap kepada media ketika di Wisma Angkasa, Kelana Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 JUN 2023.

PETALING JAYA – Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) akan menerbitkan sukuk yang pertama di negara ini bernilai RM2 bilion selewat-lewatya awal tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Fatah Abdullah berkata, penerbitan sukuk itu  membolehkan 1,600 ahli Kopsya meningkatkan pelaburan mereka melalui pelabur luar.

“Ini usaha kita untuk mendapatkan dana bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab kita sebagai koperasi yang memberikan pembiayaan kepada koperasi-koperasi lain.

“Sejak Kopsya diwujudkan 10 tahun lalu, kita telah meluluskan pembiayaan kepada kira-kira 130 koperasi dengan nilai hampir RM1 bilion.

“Kopsya menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi-koperasi untuk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya pada sidang media di Wisma Angkasa, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini Kopsya telah mengeluarkan sebanyak RM681 juta kepada 130 ahlinya.

“Kita ada kekurangan lebih RM300 juta untuk memenuhi itu (sukuk).

“Sebab itu kita nak terbit sukuk bagi membiayai pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh koperasi ahli termasuk yang terbesar pembiayaan pinjaman,” katanya.

Selain kemudahan pembiayaan kewangan, penerbitan sukuk itu bagi membolehkan Kopsya melakukan pembiayaan projek menerusi beberapa sektor.

“Ini termasuk sektor peruncitan, pemborongan, pelancongan, kesihatan, hartanah dan beberapa sektor lain yang akan kita pertimbangkan selepas ini,” katanya.

Bagi menjayakan penerbitan sukuk bernilia RM2 bilion, Kopsya bekerjasama dengan beberapa bank tempatan yang akan menyediakan dana lebih RM300 juta.

“Kita juga berharap koperasi-koperasi yang menjadi ahli Kopsya meningkatkan pegangan saham mereka kepada lebih 1,000 saham.

“Sekarang ini kita telah pun menerima kertas cadangan daripada beberapa bank tempatan yang akan beri kerjasama terbit kan sukuk.

Insya-Allah kita akan muktamadkan dalam sebulan dua lagi, kemudian kita akan majukan kepada SKM untuk dapatkan kelulusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette