Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menafikan pernah mencadangkan agar veteran DAP, Lim Kit Siang diberikan anugerah bintang kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM).

Katanya, pencalonan untuk menerima anugerah itu bukan daripada beliau, sebaliknya dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sibuk betul fasal Kit Siang dapat (anugerah) Tan Sri. Ada pula yang anotasi itu Rais Yatim punya syor. Wah! berkuasa betul anak Jolobu ni yo. Hi..hi,” katanya menjawab tuduhan ke atasnya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Rais, kalau beliau Perdana Menteri ke-10 bolehlah membuat cadangan seperti itu.

Katanya, pihak berkenaan harus tahu, yang mencadangkan nama Kit Siang ialah Anwar dan yang perkenankan cadangan itu pula Yang di-Pertuan Agong.

“Raja ada kuasa tolak, tapi baginda tak tolak kerana PMX bentang rekod khidmatnya (Kit Siang).

“Bukan tak tahu, kini jadi pembangkang ada markah tinggi diberi kerajaan. Yang beri bintang PMS dan lain-lain ialah kerajaan. Ketua kerajaan ialah Anwar Ibrahim bukan pihak lain seperti Rais Yatim,” katanya berseloroh.

Semalam, media melaporkan, Kit Siang dan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Nik Aziz dan Kit Siang dianugerahkan PSM, anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran Tan Sri dan mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.

Menurut Dr. Rais, dalam hal itu, beliau terus dipersalahkan kerana dituduh membuat cadangan agar bekas Pengerusi DAP itu menerima pingat PSM.

“Yang benarnya saya pernah syorkan dua tahun lalu pemimpin macam Kit Siang patut diberi bintang penghormatan oleh pihak seperti Pulau Pinang sebab itu telapak kuasa DAP.

“Tapi syor itu bukan dibuat di Dewan Negara.

“Tinggal lagi Yang di-Pertuan Agong nak anugerah Kit Siang bintang Panglima Setia Mahkota itu hak baginda dengan Perdana Menterinya. Orang macam saya tak terlibat.

“Nampaknya begitu terpesong daya pemikiran beberapa pemimpin yang keletihan. Tariklah nafas dalam-dalam hamburkan kewarasan. Nganga dulu sebelum bercakap,” ujar beliau.

Beliau turut meminta pihak berkenaan meneliti senarai yang dapat PSM tahun ini yang nama penerimanya panjang berjela.

“Cuba teliti lagi, puak mana dapat lebih dan golongan mana dapat kurang. Jawab sendiri, khasnya (kepada) pimpinan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette