Shaiful Hazizy PRU
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO dinasihatkan untuk tidak terkesan dengan ramalan ‘nakal’ berkenaan survival parti pada Pilihanraya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ketika ini, warga UMNO perlu mengutamakan agenda perpaduan dalaman parti dan membina semula parti yang diyakini rakyat, khususnya Melayu Islam.

“Kurang bijak untuk bersikap terlalu mengambil peduli tentang persepsi luar terutama yang dilihat cuba mengganggu emosi para perwakilan.

“Sebaliknya, kita perlu memberi tumpuan pada mesej yang disampaikan oleh kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden dan ‘top five’ tentang hala tuju UMNO dan berbincang kaedah strategik untuk menjayakan matlamat parti.

“Kita seharusnya bekerja lebih kuat untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat, sekali gus membuktikan segala ramalan negatif nakal pihak-pihak tertentu itu terbukti tidak benar dan salah,” katanya atau dikenali Tok Pon dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa parti itu akan ‘bungkus’ pada PRN di enam negeri akan datang.

Perkara itu disuarakan Khairy menerusi ruangan komen di Instagram milik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein 5 Mei lalu.

“PRN UMNO bungkus,” ujarnya.

Its their loss bro, we move on (Ini kekalahan mereka bro, kita teruskan),” balas Hishammuddin.

Pada awalnya, Hishammuddin membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang seakan ‘menyindir’ dengan mempelawa bekas ahlinya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Sementara itu, Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai medan bagi ahli dan kepimpinan parti untuk bermuhasabah, kembali menilai diri dan berbincang sesama.

“Saya menyeru agar semua pimpinan parti di pelbagai peringkat untuk bangkit menyemarakkan lagi perjuangan dan mempertahankan parti keramat bangsa ini.

“Pada hemat saya, inilah masa terbaik untuk kita membuktikan kesetiaan terhadap sebuah perjuangan,” katanya. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast