Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan mengambil tindakan ke atas pasar raya yang menjual gula pasir secara kawalan kendiri dengan mengehadkan kuantiti bagi setiap pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin berkata, tindakan tidak menyalahi mana-mana peraturan malah langkah itu dapat membantu kerajaan untuk memastikan bekalan gula mencukupi di pasaran.

“Setakat ini peraturan itu tidak ada, sebab kita rasa cukup, tapi sekiranya mana-mana pasar raya atau hypermarket itu mereka nak buat in-house control, boleh, itu tidak salah.

“Macam minyak peket, kalau letak selonggok pagi, empat-lima paket dia habislah, dia buat mungkin dua kotak pagi, dua kotak tengah hari, dua kotak petang, itu boleh diizinkan.

“Langkah ini bagi memastikan bekalan gula itu cukup dan tidak berlaku pembelian panik,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu Salahuddin melakukan pemantauan dan lawatan kerja beliau ke kilang pembuatan gula di Central Sugars Refinery (CSR) Sdn. Bhd. di sini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Central Sugars Refinery (CSR) Sdn. Bhd, Mohamad Zuki Wan Abdullah (kanan) semasa membuat sesi pemantauan dan lawatan ke Kilang Gula CSR Sdn Bhd, Batu Tiga, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2023.

Sebelum ini, Salahuddin mengesahkan masalah bekalan gula satu kilogram dikesan berlaku di Terengganu dan Kelantan, pada Hari Raya Aidilfitri, bulan lalu.

Situasi itu timbul selepas penutupan sementara kilang utama di Johor sempena Aidilfitri namun sudah diatasi dengan kilang terbabit kembali beroperasi pada 25 April lalu.

Bekalan gula halus keluaran kilang CSR Sdn Bhd di Batu 3, Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Salahuddin mengulangi amarannya bahawa mana-mana peniaga yang menjual bekalan gula secara bersyarat dengan mewajibkan pengguna membeli gula premium, tindakan tegas menanti mereka.

“Kita akan ambil tindakan tegas kalau itu letak syarat boleh beli dua paket gula pasir (rakyat) itu tapi dengan syarat kena beli satu pek gula tapis jernih, itu tak boleh.

“Dia jadikan gula yang mahal itu sebagai umpan, itu tak boleh, tindakan tegas akan diambil, itu tiada kompromi kerana mereka salah guna ketetapan yang telah kita keluarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. saya tiada pembelian panik, tapi saya panik bila bang salahhudin buka mulut

Comments are closed.