MELAKA – Sebuah kilang elektronik didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pencemaran sisa kimia ke dalam Sungai Melaka, tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas syarikat, Syntronixs Asia Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Yong Kuan Ho, 53, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawaian B seperti mana ditetapkan ke dalam perairan pedalaman yang mana kandungan Biological Oxygen Demand (BOD) mempunyai kepekatan tinggi.
BOD dilepaskan sebanyak 77 mg/l (miligram per liter) melebihi had dibenarkan iaitu 50 ml/g seperti ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindusrian), 2009 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127)
Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.10 pagi hingga 1 petang 18 Ogos 2022 di No 8722, Plot 8, Kawasan Perindustrian Bebas Batu Berendam, Mukim Bachang, dalam daerah Melaka Tengah.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Melaka Elbyta Rozana Mohd Hatta memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ini adalah kesalahan ke empat dilakukan syarikat itu sebagai pengajaran kepada syarikat dan pemain industri lain.
Hujahnya, syarikat itu sebelum ini sudah didenda keseluruhan sebanyak RM85,000 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan sama sebelum ini pada 2010, 2018 dan 2020.
Kandungan BOD yang tinggi di dalam badan air katanya, boleh mengakibatkan kandungan oksigen dalam air berkurang menjadikan hidupan akuatik tertekan, lemas dan mati.
Kemerosotan kualiti air Sungai Melaka juga akan meningkatkan kos kepada kerajaan untuk proses rawatan air kepada pengguna seterusnya menjejaskan aktiviti pelancongan di negeri ini.
Terdahulu, Yong Kuan yang diwakili peguam Christal Wong memohon mahkamah mengurangkan denda kerana OKS mengaku bersalah yang menjimatkan masa dan kos.
Hakim Darmafikri kemudian mengarahkan OKS membayar denda RM30,000 – MalaysiaGazette.