Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa Speaker Dewan Rakyat merujuk RSN Rayer (PH-Jelutong) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung dua isu yang dibangitkannya semalam.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengemukakan usul tersebut berdasarkan Peraturan 36 (6) iaitu seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain dan Peraturan 36 (12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Ia berikutan Rayer telah menuduh dua bekas perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Rayer telah menuduh Muhyiddin berhubung ketirisan pemerolehan pembelian alat ventilator yang sepatutnya dilakukan siasatan terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana melibatkan tatakelola dan bukan melibatkan ahli Parlimen Pagoh itu.

“Ini tidak tepat Speaker sebab direct ketirisan pasal ventilator itu bukan salah darurat..salah tatakelola KKM.

“Jadi, kalau ada masalah bukanlah kerana darurat, tapi siasatlah KKM,” katanya ketika pembukaan perbahasan pada sesi petang di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, tuduhan Rayer terhadap Dr Mahathir juga tidak tepat kerana beliau mendakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu telah menghina raja-raja Melayu sedangkan beliau hanya disiasat dibawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

“Jadi, kenapa perlu Jelutong mahu menarik gelaran (Tun) beliau kerana perkara ini.

“Jadi, inilah saya harap supaya diambil tindakan dan kalau boleh tarik balik kenyataan yang saya rasa songsang itu,” ujarnya.

Semalam, Rayer dipetik mencadangkan agar kerajaan menarik balik gelaran Tun yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

Beliau mendakwa, ia susulan bekas perdana menteri itu telah melakukan serangan terhadap kerabat Diraja dengan melakukan penghinaan menerusi Proklamasi Orang Melayu.

Malah, Rayer mendakwa, menerusi proklamasi yang dicanang oleh Dr Mahathir itu, kemungkinan bekas ahli Parlimen Langkawi berkenaan akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini telah mengkhinatinya.

Sementara itu, Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu, pihaknya ada menerima surat yang dikirimkan Wan Fayhsal berhubung usul berkenaan pukul 11 pagi tadi.

Katanya, beliau akan meneliti hansard dan akan membuat ketetapan serta tindakan lanjut yang boleh diambil mengikut perintah tetap yang dirujuk. – MalaysiaGazette