Mohd Yusri.

IPOH – Impian seorang jurusolek memiliki kereta Honda Civic bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian RM132,860 akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai penjual kereta terpakai di Kerian, Perak.

Wanita berusia 27 tahun itu dikatakan terjerat dalam penipuan terbabit selepas melihat iklan mengenai jualan kereta terpakai di laman sosial Facebook pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, iklan berkaitan kereta jenis Honda Civic VTEC Turbo RS Auto 1.5 berwarna putih itu menarik minat mangsa untuk menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan.

Katanya, susulan itu, mangsa dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sambil memperkenalkan diri sebagai penjual kereta dan memberikan gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa.

“Selepas menyakinkan mangsa, suspek meminta wanita itu melakukan pemindahan wang berjumlah RM132,860 secara dalam talian ke atas enam akaun bank.

“Mangsa yang telah melakukan transaksi sebanyak 25 kali itu diminta tidak membatalkan pembelian atas alasan insurans telah didaftarkan dan sebarang kerugian akan ditanggung mangsa jika berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan hal tersebut kepada rakannya.

“Rakanya itu memaklumkan perkara tersebut kepada bapa mangsa sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian pada jam 5.45 petang semalam.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette