Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib tidak menafikan keberadaan bapanya dalam beberapa pilihan raya sebelum ini terbukti memenangkan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti lebih dua pertiga.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan ketiadaan bekas Perdana Menteri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, peluang menang mungkin merosot dan tidak memberi kelebihan kepada BN mahupun calon Kerajaan Perpaduan.

“Kalau ayahanda saya ada, sudah tentu beliau berniat untuk membantu parti kalau diberikan peluang, tapi beliau sedang menjalani hukuman dan tidak boleh membantu pada masa ini.

“Semasa beliau masih bebas, beliau telah membantu jentera BN sehabis baik sehingga kita dapat menang di Melaka dengan majoriti tiga perempat dan di Johor lebih dua pertiga.

“Saya serahkan kepada para penyokong untuk menilai sejauh mana sumbangan ayahanda selaku seorang figura UMNO-BN yang telah berkempen dan membantu parti ketika pilihan raya sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nizar masih meletakkan keyakinan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak memandang sepi usaha menuntut keadilan dan pembebasan untuk bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Saya sebenarnya yakin UMNO masih memperjuangkan ayahanda saya, tapi selaku ahli keluarga saya tidak mahu momentum itu menjadi perlahan atau dihentikan atau orang mudah lupa.

“Jadi kita kena terus sentiasa memperingati bahawa beliau masih di dalam, saya harap usaha-usaha membebaskan dan membela beliau akan diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. dulu cerita bapak kau perlu dibebaskan
    masa pemilihan Bahagian UMNO pun cerita bapak kau akan dibebaskan
    masa pemilihan Agong UMNO pun KAU sembang bapak kau kena dibebaskan
    sekarang pun PRN 6 NEGERI kau meracau supaya bapak KAU. asyik bapak KAU je KAU fikir KAU ingat akarumbi tu nak bagi duit cincin gelang rantai emas lagi ke? cukup perdaya akarumbi kononnya NAJIB telah susah duit… banyak KES Najib mampu bayar tunai berpuloh juta… kalau nak HEBOH pun sembang la tentang Rosmah Mansor.. ada laku sikit..

Comments are closed.