Calon Perikatan Nasional P.081 Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berucap pada Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR — Pas menyifatkan siasatan yang dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor berkaitan isu sejarah pemilikan Pulau Pinang milik Kedah adalah satu episod hitam dalam sejarah demokrasi negara.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO yang kononnya melaungkan kebebasan bersuara.

“MB Kedah hanya bercakap berdasarkan fakta sejarah iaitu apabila ada pihak membayar pajakan tanah kepada pihak lain, amat jelas menggambarkan tanah tersebut seperti bukanlah dimiliki pembayar itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan berhubung perkara itu juga dijelaskan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Khairil Nizam berkata, Pas tidak menafikan siasatan yang dijalankan polis adalah hak pihak berkuasa dan adalah prosedur biasa.

“Namun tindakan ini dilihat sebagai ‘ketakutan’ kerajaan PH-UMNO terhadap perkara yang diangkat MB Kedah.

“Sekali lagi kami melahirkan rasa kesal dengan tindakan in kerana MB Kedah hanya menyatakan fakta sejarah dalam pengetahuan beliau dan tidak menggugat ketenteraman seperti isu Kalimah Allah.

“Kami berharap pihak berkuasa telus dalam siasatan dan melihat segala aspek termasuk fakta sejarah yang bukan rahsia lagi,” katanya.

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Susulan kenyataan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan dan telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan MB Kedah itu.

Semalam, media melaporkan PDRM mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat. -MalaysiaGazette