perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong penuh usaha parti untuk mendapatkan pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) mengulas mengenai jaminan yang diberi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 pagi tadi.

“Ini senada dengan ketetapan yang sudah dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini bagi mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden UMNO ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu memberitahu, Perhimpunan Agung UMNO 2023 adalah tonggak penting dalam perjalanan perjuangan parti.

Azalina berkata, ia memberi UMNO peluang untuk mengukuhkan semangat solidariti, memperkukuhkan prinsip-prinsip parti dan membina momentum bagi melangkah ke hadapan.

“Saya berharap agar kita semua dapat bersatu padu, menghadapi setiap cabaran dengan keberanian dan terus berjuang demi kejayaan UMNO dan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Beliau juga menyedari bahawa tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan UMNO semakin meningkat.

Azalina menyatakan, beliau berbesar hati kerana dapat berkhidmat dan menyampaikan mesej-mesej penting mengenai prinsip-prinsip dan hasrat UMNO kepada rakyat melalui perwakilan dan libat urus.

“Menjadi penghubung antara parti dan masyarakat adalah satu amanah yang saya terima dengan sepenuh hati dan saya berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Perhimpunan Agung UMNO 2023 mencatatkan sejarah apabila buat julung-julung kali menganjurkan forum melibatkan tiga naib presiden bersama semua ketua penerangan dari seluruh negara. – MalaysiaGazette