KUALA LUMPUR – UMNO perlu memecahkan tradisi dalam pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dengan tidak mengutamakan jawatan Ketua Bahagian mahupun struktur utama jawatankuasa bahagian sebagai keutamaaan parti.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, parti-parti lain telah lama mengemukakan wajah-wajah baharu yang progresif, aktif dan berkeyakinan serta mampu menarik undi golongan muda yang menjadi pemegang taruh peratusan terbesar undi di setiap Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
“Sudah sampai masanya, pemilihan calon diteliti daripada pelbagai sudut dan bukan bersandarkan kerana jawatan dalam parti.
“UMNO perlu memisahkan pasukan gerak kerja antara parti dan juga kerajaan agar kelangsungan parti terus berjalan seiring,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambahnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dilihat begitu signifikan dengan menjelangnya Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) tidak lama lagi kerana menjadi medan untuk UMNO membawa usul berkenaan polisi-polisi yang berpihak kepada rakyat khususnya orang muda seperti skim elaun rumah sewa, rumah mampu milik orang muda serta banyak lagi.
Diminta mengulas mengenai UMNO yang dikatakan masih ditakuk lama khususnya dalam penggunaan media sosial, Shahrul Nasrun berkata, partinya sentiasa mengikut rentak semasa politik.
“Pemuda UMNO khususnya akan sentiasa beradaptasi dengan teknologi semasa. Media sosial bukan lagi kemahuan tetapi keperluan, sudah semestinya Pemuda UMNO akan menjuarai media sosial dengan penjelasan sebarang isu semasa kepada rakyat dan memastikan mesej-mesej daripada UMNO akan sampai pada rakyat,” katanya lagi.
Pemuda UMNO, tambahnya, akan mewujudkan Biro Pemikir dan Penyelidikan untuk menjawab sebarang masalah dan memberi tawaran dan idea baharu kepada rakyat.
“Masalah besar kita ialah UMNO tidak pandai membawa naratif tidak sihat atau jahat serta menghasut rakyat dengan sentimen agama mahupun perkauman.
“Oleh itu, saya menyeru agar rakyat terutamanya anak muda untuk menolak politik jahat yang membawa sentimen jahat dan lebih fokus kepada apa yang memberi keuntungan kepada survival kita sebagai anak muda,” katanya sambil menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi juru bicara rakyat yang lebih agresif. – MalaysiaGazette