KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah menggadaikan agenda Melayu, Islam dan bumiputera demi untuk mengekalkan kelangsungan parti Melayu itu biarpun terpaksa menempuhi dua episod hilang majoriti dalam dua pilihan raya sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, meskipun parti Melayu itu terpaksa melakukan beberapa penyesuaian mengikut keadaan semasa dan tuntutan politik, namun agenda Melayu tetap terpelihara.
“Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menceritakan sejarah bagaimana UMNO terpaksa melalui fasa-fasa tertentu yang menuntut ia membuat penyesuaian.
“Sejak Merdeka, peristiwa 13 Mei, pasca PRU 14 dan Pasca PRU15. Apa pun penyesuaian agenda Melayu tetap terpelihara.
“Sekarang agenda Melayu dan Islam tetap menjadi asas perjuangan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 berkata, dalam mendepani realiti politik baharu, penyesuaian dibuat tanpa menjejaskan soal keindukan Islam, menggadaikan maruah, agenda Melayu Bumiputera serta memperjudikan nasib rakyat.
Ahmad Zahid berkata, sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mengorak langkah membawa Malaysia, muncul sebagai sebuah negara yang penuh dengan rekod kecemerlangan dan kejayaan hingga ke hari ini.
Zahida juga berkata, meskipun UMNO-BN kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun usaha untuk memberi keadilan dan kebebasan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah diabaikan Presiden UMNO.
“Dalam mendukung Kerajaan Perpaduan, Presiden masih menyuarakan keadilan untuk Datuk Seri Najib,” katanya.
Sementara itu, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai ini sangat penting kepada negara untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran negara.
“(UMNO) perlukan kestabilan politik demi masa depan negara.
“PRN diharapkan dapat memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan kerana keserasian antara negeri dan Persekutuan sangat penting untuk masa depan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette