Penyanyi terkenal India, Karthik akan mengadakan konsert sulung di Kuala Lumpur petang ini.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal dari India, Karthikeyan atau lebih popular dengan panggilan Karthik yang mempunyai jutaan peminat seluruh dunia telah tiba di Malaysia untuk konsert buat julung-julung kali beliau di sini petang ini.

Konsert ‘Karthik Live in KL’ anjuran syarikat pengurusan terkenal, My Events International di Mega Star Arena Kuala Lumpur akan membuat persembahan lebih tiga jam dengan menyanyikan semua lagu popular sepanjang zaman.

Karthik adalah penyanyi, juga komposer terkenal kerana keunikan suaranya dan kualiti vokal yang tinggi telah menghasilkan ratusan lagu hit dalam filem-filem Tamil, Telugu, Malayalam, Hindi dan Kannada sejak dua dekad.

Beliau mula membina kerjayanya dalam bidang muzik pada awal tahun 2000-an dan  menjadi antara penyanyi popular Tamil Nadu selain memenangi beberapa anugerah muzik atas kejayaan dan bakatnya dalam muzik, termasuk lima kali memenangi anugerah berprestij.

Sempena konsertnya di sini, beliau akan menghiburkan para peminatnya dengan lagu-lagu hit termasuklah dalam lagu ‘Orrumalai, Ava Enna, Mazhai Vara Pogudhae, Kan Pesum Varthaigal, Oru Ooril, Vizhi Moodi dan lain-lain.

Konsert Live in KL yang disertai oleh kumpulan muzik akan dihadiri hampir 5,000 penonton. – MalaysiaGazette