kerusi PRN
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja tertinggi UMNO (MKT) sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kembali ahli-ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun ia ia perlu dilihat sama ada mereka yang dipecat itu benar-benar ahli parti atau hanya gunting dalam lipatan.

Ini kerana, menurut Ahmad Zahid lagi, jika individu yang dipecat itu benar-benar merupakan orang parti, mereka tidak akan berkokok dan menghentam parti dari luar.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sebaliknya, jika sayangkan parti, mereka harus akur dengan keputusan parti seperti yang pernah dialami oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam yang tidak pernah menikam parti dari luar meskipun beliau pernah dipecat.

Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan beliau sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun sehingga kini masih dipandang sepi.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya hukuman penggantungan itu mahu dibuat pada tahun lepas, namun tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas.

Tajuddin turut mengakui masih setia terhadap parti dan berharap rayuan diterima agar beliau dapat kembali menjadi ahli parti keramat Melayu itu.

Beberapa pemimpin UMNO telah digantung dan dipecat antaranya adalah Tajuddin; bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan; bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – MalaysiaGazette