KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebak mengenangkan nasib bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di sebalik tirai besi.
Ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO sebentar tadi, beliau dilihat menitiskan air mata.
Katanya, bukan sahaja rakyat Malaysia merindukan bekas ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya, beliau turut rasa rindu, lebih-lebih lagi orang-orang di Pahang.
“Jujur dan ikhlas saya katakan…ketika satu Malaysia menzahirkan rindu kepada Datuk Seri Najib, kami dari Pahang, 1,000 kali lebih rindu kepada susuk tubuh yang cukup berjasa ini.
“Suatu ketika, kami di Pahang, laksana patah perahu, kemudi hanyut, susuk tubuh inilah yang selama ini, sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada kami.
“Susuk tubuh inilah, yang acap masa menjadi sumber inspirasi buat kami. Susuk tubuh inilah yang setiap detik, menjadi sumber pencetus semangat buat kami,” katanya sambil menitiskan air mata.
Menurut Wan Rosdy, beliau amat sedih dan pilu ketika menyaksikan kelantangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi bersungguh-sungguh memperjuangkan keadilan, buat tokoh pemimpin yang dikasihi itu.
Katanya, perasaan pilu itu juga dirasai oleh para perwakilan yang turut menitiskan air mata, terkesan raga dan jiwa kerana merindui aura kepimpinan Najib. – MalaysiaGazette