MELAKA – Dua remaja bawah umur termasuk seorang perempuan antara 11 ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang akan dihadapkan ke Kompleks Mahkamah Melaka esok atas pertuduhan menipu awal bulan ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua juvana berusia 17 tahun itu sudah tidak lagi bersekolah ketika ditahan bersama anggota lain sindiket itu di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana pagi 1 Jun lalu.
“Dua remaja terbabit iaitu perempuan dan lelaki berusia 17 tahun adalah antara 11 ahli sindiket sama berusia 18 hingga 22 tahun yang akan dihadapkan ke Mahkamah Melaka pagi esok.
“Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun sehingga maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan 11 individu anggota sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ditahan polis di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, di sini, kira-kira pukul 10.40 pagi 1 Jun lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.
Hasil siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah membawa kepada maklumat operasi pusat penipuan atas talian di premis berkenaan.
Semakan mendapati 12 laporan dibuat mangsa terhadap kegiatan sindiket ini membabitkan dua kes di Kedah, Melaka, Selangor dan Terengganu dan satu kes di Perak dan Perlis. – MalaysiaGazette