Norazen Md Dadi menunjukkan pelan kediaman di taman perumahan mereka di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Selama 888 hari telah berlalu namun penduduk Taman Gambang Damai di sini masih hidup dalam penantian selepas kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan tersebut kira-kira dua tahun lalu.

Selepas insiden 5 Januari 2021, kira-kira 20 pemilik rumah di Lorong GD29 itu tersebut diarahkan berpindah namun sehingga kini mereka masih belum boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Ini berikutan proses pembaikkan cerun akibat kejadian tanah runtuh masih belum dilakukan oleh mana-mana pihak sehingga kini menjadikan pemilik kediaman ragu-ragu untuk berpindah semula kerana gusar atas faktor keselamatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Gambang Damai, Norazen Md Dadi berharap pemaju dapat memberi jaminan keselamatan atau arahan rasmi berkenaan status di kawasan berkenaan.

Menurutnya, enam pemilik iaitu rumah mereka yang musnah dan rosak teruk dalam kejadian itu telah ditawarkan rumah PR1MA sebagai ganti rugi oleh pemaju.

”Namun demikian, nasib bagi 20 pemilik rumah yang lain masih belum diketahui sama ada rumah mereka selamat untuk didiami atau sebaliknya.

“Sekiranya selamat untuk didiami, kami mahukan hitam putih tetapi jika tidak kami mahu tahu apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelas Norazen, pemilik berdepan dengan kerugian dengan menanggung kos sewa rumah lain  dan pembiayaan perumahan di samping kecewa memikirkan nasib yang menimpa itu tiada berkesudahan.

Pihaknya telah berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan dan bersedia untuk mengadakan pertemuan untuk dengan pihak terbabit bagi menamatkan kemelut itu.

Bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang seperti membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tiada langkah proaktif diberikan oleh pihak berwajib.

Tragedi tanah runtuh itu menyebabkan dua unit rumah musnah manakala empat lagi rosak teruk sementara 20 unit yang lain berisiko untuk didiami.

“Lebih parah tiada satu pun pihak yang tampil untuk duduk semeja berbincang mencari jalan penyelesaian baik pemaju, pihak berkuasa tempatan atau pun kerajaan negeri.

“Tetapi kalau pihak berkenaan terus berdiam diri, kita mungkin akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada SPRM,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kesemua pemilik rumah rosak itu berharap pihak kerajaan negeri mengambil langkah sewajanya bagi membantu pemilik rumah yang tidak saling tumpah seperti mangsa rumah terbengkalai.

Roslinda Ahmad Said

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik rumah di kawasan itu, Roslinda Ahmad Said, 39, mengharapkan ganti rugi yang setimpal meskipun menerima tawaran rumah PR1MA daripada pemaju.

Ini kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah dari rumah asal yang dibelinya.

Tambah Roslinda, beliau tetap membayar pembiawaan bagi rumahnya bernilai RM1,400 termasuk bila air dan elektri setiap bulan selain menampung kos rumah sewa sebanyak RM500.

Norul Ba’ayah Ali @Husain

Manakala bagi Norul Ba’ayah Ali @Husain, 37, pula terpaksa mengambil jalan akhir untuk berpindah pada bulan Mac lalu setelah dua tahun mendiami rumah yang rosak dan berisiko itu.

Beliau sekeluarga khuatir jika berlaku lagi runtuhan ekoran masih ada lagi pergerakan di bawah tanah di kawasan terbabit.

Sementara itu, difahamkan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah telah merujuk isu berkenaan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun untuk tindakan selanjutnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast