Mohammin Amin dan Rokiah Samat yang memiliki perbezaan umur 35 tahun.

KUALA LUMPUR – Perbezaan usia 35 tahun tidak menghalang seorang lelaki kelahiran Sabah, Mohammad Amin Jumdail untuk mengahwini isterinya yang dikenali menerusi aplikasi TikTok pada 2021.

Kisah cinta mereka yang kini tular di media sosial dikatakan bermula apabila lelaki berusia 27 tahun itu sekadar mahu berkenalan dengan Rokiah Samat yang berasal dari Kelantan sehingga timbul bibit-bibit cinta.

“Bermula daripada sekadar nak berkawan sahaja, lama-kelamaan perasaan sayang dan rindu timbul dalam diri saya. Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu.

“Dia bukan usahawan ternama, orangnya hanya biasa-biasa. Saya percaya ini adalah ketentuan Allah yang menetapkan dia adalah jodoh saya,” katanya mesra dipanggil Adam.

Bercerita lanjut, dia kemudian berhijrah ke Semenanjung pada tahun sama dengan bekerja sebagai tukang urut di Johor sebelum berpeluang untuk bertemu dengan wanita berusia 62 tahun itu.

“Sebulan kemudian iaitu pada hari jadi saya iaitu 10 Januari 2022 barulah saya pergi ke Kelantan untuk bertemu dengannya,” ujarnya.

Bagi Rokiah pula, dia terbuka hati untuk menerima lelaki tersebut disebabkan sikap yang baik, tanggungjawab, mengambil berat serta penyayang.

“Anak saya yang sulung berusia 45 tahun dan bongsu pula 18 tahun. Saya sudah berusia 62 tahun tapi rasa macam 40 tahun. Alhamdulillah saya masih sihat,” katanya yang mempunyai 11 orang anak, 22 cucu dan seorang cicit.

Difahamkan, rumah tangganya sebelum ini gagal sebelum membuat keputusan bagi berkahwin dengan Adam pada September tahun lalu.

Sementara itu, Adam yang juga ejen menjual produk kecantikan dan kesihatan menjelaskan dia tidak mempunyai niat tertentu bagi memperisterikan wanita berkenaan.

“Allah sudah tentukan hati saya di Kelantan, beristerikan orang sini. Alhamdulillah, dia menjadi pelengkap ‘tulang rusuk’ saya. Walaupun perbezaan usia, kehidupan kami bahagia dan aman damai.

“Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang caring dan sempurna di mata saya daripada segala segi. Isteri juga pandai memasak, saya paling suka masakannya kari kepala ikan… itu nombor satu,” kongsi Adam kepada media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast