Foto Facebook Intan Serah.

KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah mengumumkan dia menyertai sebuah kelab di Amerika Syarikat.

Dia mengumumkan akan beraksi untuk New York Dutch Lions yang bermain di dalam saingan Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL) menerusi Facebook rasmi miliknya.

Selain itu, Intan Serah turut meminta peminat mendoakannya untuk fasa baharu kariernya di luar negara.

Intan Serah sebelum ini menukar kariernya daripada pemain futsal profesional kepada pemain bola sepak profesional ketika bermain untuk pasukan Sukan SEA Malaysia 2023 yang lalu.

New York Dutch Lions memberitahu, urusan pengumuman rasmi Intan Serah mengambil masa kerana pemain kebangsaan Malaysia itu perlu menyelesaikan isu dokumentasi di kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Sementara itu, NYDLFC teruja meraikan kedatangan Intan Serah ke dalam pasukan mereka.

“Pemain kebangsaan Malaysia, Intan Serah akan bermain untuk NYDLFC!!”

“Pemain penyerang tersebut agak lewat tiba kerana isu visa yang perlu dia dapatkan daripada kedutaan, dan kini semuanya sudah diselesaikan dan dia sedia untuk memulakan perjalanan baharu dengan kita.”

“Selamat datang ke New York dan kami teruja untuk memiliki kamu dalam paukan kami Intan,” tulis kelab itu. – MalaysiaGazette