MELAKA – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya selepas wanita itu mengetahui dia dimadukan, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Norazlan Md. Ali, 60, yang juga seorang akauntan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, Zaharah Mustapa, 58, kira-kira pukul 5.30 petang di dalam kereta jenis BMW X1 di kawasan lampu isyarat di Bukit Katil, 25 Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut apabila mangsa mengetahui suaminya merahsiakan perkahwinan sebelum wanita berkenaan ditampar dan ditumbuk tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan RM10,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai akauntan untuk menanggung isteri serta enam anak selain tidak lagi tinggal sebumbung bersama isterinya itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 20 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast