KUALA LUMPUR – Aksi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menunggang seekor lembu sado kini tular di media sosial.
Netizen menyifatkan tindakan sebagai aneh kerana haiwan itu kebiasaannya jarang ditunggangi manusia berbanding kuda.
Malah aksi Mohamad yang agak was-was dan berhati-hati ketika mula menunggang lembu itu turut menjadi bahan jenaka dalam kalangan netizen.
Aksi itu ketika beliau mengunjungi projek ternakan lembu sado yang diusahakan oleh Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan Bachok, Kelantan, Mohd Zulkifli Ali.
“Saya lihat lembu-lembu di sini semuanya sihat-sihat dan ternakan ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan lagi.
“Dalam lawatan tempoh hari juga, saya telah menyampaikan “mock cheque” kepada 20 orang usahawan di bawah Geran Padanan Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise Up) yang berjumlah RM1.9 juta.
“Saya berharap semua usahawan ini dapat terus maju memperkembangkan ternakan lembu sado ini dalam usaha kita menyediakan sumber makanan yang mencukupi untuk rakyat di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.. – MalaysiaGazette