Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Islam dan Melayu peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2023.

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melihat dan mengkaji alasan diberi guru yang membuat pilihan untuk bersara awal, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, KPM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi memastikan unjuran guru termasuk yang berada di institut pengajian tinggi mencukupi, bukan berkurangan.

“Guru yang bersara ini ada dua faktor. Faktor pertama bersara wajib dan kedua, kerana sakit.

“Namun, bersara pilihan ini pun banyak yang memberi alasan sakit dan beberapa alasan lain. Ini yang kita nak kena kaji semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Konvensyen Islam dan Melayu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara alasan guru memohon bersara awal adalah kerana mahu berehat, mempunyai kekuatan ekonomi yang mencukupi.

Justeru, katanya, bagi mengatasi masalah itu, KPM mengambil langkah untuk melatih lebih ramai guru agar kekurangan guru dapat diatasi dalam tempoh yang singkat.

Mengenai pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, Fadhlina berkata, kebanyakannya tidak hadir pada hari peperiksaan, bukan ponteng.

“Mereka bukan ponteng SPM ya, tapi dalam rekod menunjukkan mereka tidak hadir. Apabila tidak hadir apa yang kita buat ialah menjalankan siasatan dan kajian penuh.

“Hasil siasatan ini nanti kita akan kongsikan dan ambil tindakan intervensi bagaimana hendak mengatasinya dan memastikan kehadiran mereka pada peperiksaan SPM akan datang.

“Ini masalah lama sebenarnya, cuma kali ini kita jadikan dia sebagai satu langkah untuk pastikan calon ini hadir dan menduduki peperiksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast