KUALA LUMPUR – Penyerang skuad bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli membuat penampilan pertama bersama kelabnya, New York Dutch Lions (NYDL) FC awal pagi tadi.
Biar pun berdepan dugaan pertama apabila kehilangan telefon bimbit sebaik sahaja tiba di Amerika Syarikat (AS) namun ia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk beraksi selama 10 minit terakhir sebagai pemain gantian.
Dalam perlawanan itu, NYDL mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri menentang SUSA FC.
Kemunculan Intan Serah yang berusia 23 tahun itu bermakna merupakan pemain Malaysia yang pertama beraksi dalam saingan Women Premier Soccer League (WPSL) di AS.
Sebelum itu, dia tidak tidur selama 24 jam selepas menempuh perjalanan jauh kerana perlu turun menjalani latihan sambil menyesuaikan diri sebelum perlawanan tersebut.
Intan Serah sebelum ini menukar kariernya daripada pemain futsal profesional kepada pemain bola sepak profesional ketika bermain untuk pasukan Sukan SEA Malaysia 2023 yang lalu. – MalaysiaGazette