Tertuduh Johari, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan sehingga parah ibu saudaranya menggunakan sebatang cangkul, Sabtu lalu.

MELAKA – Seorang pengacara majlis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan ibu saudaranya sehingga parah menggunakan sebatang cangkul, Sabtu lalu.

Tertuduh Johari, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Jalilah Jalal, 60, menggunakan sebatang cangkul yang jika digunakan sebagai senjata mungkin boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di hadapan sebuah rumah bernombor di Jalan Daeng Tawi, Telok Mas, di sini 10 Jun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh yang bertaraf pemastautin tetap boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara tertuduh dan mangsa berkenaan isu pemilikan tanah sebelum lelaki itu didakwa bertindak demikian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dalam hujahannya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira faktor kecederaan mangsa bahagian otak, patah tulang pipi, dagu dan rusuk serta pendarahan mata sehingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa kepada empat orang anak itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan kerana perlu menyara isteri dan anak-anaknya selain mendakwa tindakannya itu adalah untuk mempertahankan keluarganya.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 18 Julai ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast