KUALA LUMPUR – Pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara digalakkan menubuhkan koperasi sebagai kesinambungan penglibatan mereka sebagai koperator muda dalam gerakan koperasi.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi malah akan membantu penuntut lebih berpengalaman dalam menguruskan perniagaan.
“Koperasi yang ditubuhkan juga mampu berfungsi sebagai platform mempromosikan produk koperasi dan budaya Malaysia di luar negara,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan wakil kelab pelajar UMNO luar negara di ibu pejabat ANGKASA.
Perjumpaan tersebut dihadiri oleh tujuh orang wakil kelab pelajar UMNO luar negara daripada beberapa universiti di Mesir, Indonesia, Ireland dan United Kingdom.
Tambah Abdul Fattah, penubuhan koperasi pelajar luar negara juga bertepatan dengan aspirasi kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melihat lebih banyak koperasi belia ditubuhkan supaya lebih ramai usahawan muda muncul dengan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.- MalaysiaGazette