Pameran KU.POL yang dikurasikan pasukan kuratorial Balai Seni Negara, menghimpunkan koleksi kotak beca daripada Koleksi Seni Negara.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya, Balai Seni Negara menganjurkan Program Jerayawara Seni Dwimusim Kuala Terengganu 2023 bertemakan Lindungan dan Dagangan.

Program bermula Disember 2022 itu bermatlamat untuk memetakan aktiviti komuniti kreatif Kuala Terengganu dalam bentuk pameran, seni awam, simposium antarabangsa dan aktiviti bersama komuniti.

Program itu dirasmikan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di bangunan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu.

Program yang mengangkat kearifan tempatan, produk seni, budaya dan warisan negeri itu membawakan pelbagai pengisian aktiviti.

Antaranya, pameran KU.POL yang dikurasikan pasukan kuratorial Balai Seni Negara, menghimpunkan koleksi kotak beca daripada Koleksi Seni Negara yang dihasilkan pelukis Dahlan Sulaiman dan sebuah beca berasal dari Kuala Terengganu belian koleksi pada tahun 2001.

Jerayawara Seni Dwimusim Kuala Terengganu 2023 turut membawakan Program Doktong oleh kolektif Mandalika iaitu program dan aktiviti seni dalam mengetengahkan kearifan tempatan, bakat dan produk tempatan.

Turut serta Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) menerusi bengkel dan demonstrasi lukisan kotak beca.

Selain itu, pelbagai seni awam telah dihasilkan yang bakal menjadi tarikan dan pengalaman baharu kepada pengunjung negeri berkenaan.

Antaranya, Mural Tiang Jambatan Sultan Mahmud Almuktafibillah Shah (Jambatan Duyong) 2.0, Mural Tukang Bot KLaut, Wokaf Awang Sulong dan Arca Awam: The Diversity of Batik Technique: Bamboo Construction and Batik Installation.

Seni awam itu mendapat penglibatan pelukis dari Malaysia serta jemputan kolaborasi kepada penggiat seni luar negara iaitu Pattani, Thailand.

Sempena perasmian program itu, Balai Seni Negara turut menganjurkan beberapa program komuniti seperti Program Tembok Seni iaitu melukis mural bersama dua pelukis muda, Yaulacap dan Mie Ali yang disertai warga tempatan dalam usaha untuk memperindah ruang dinding awam di luar Pusat Akuatik Kuala Terengganu.

Seterusnya, orang ramai juga dapat menyertai lawatan berpandu melalui Program Telusur Seni untuk melihat serta meneroka seni awam yang menjadi tarikan terbaharu di Kuala Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast