MELAKA – Kerajaan negeri merangka 13 acara pelancongan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri dan rakyat menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program utama itu adalah termasuk dalam 64 acara pelancongan negeri sekaligus membantu Melaka mencapai sasaran 18.7 juta pelancong.
“Sebanyak 13 acara ini merupakan program pelancongan utama yang memberi impak tinggi kepada sektor pelancongan ekonomi rakyat mahupun negeri bermula Julai hingga Oktober ini.
“Antaranya ialah Melaka International Muaythai pada 29 hingga 30 Julai, Karnival Beca Melaka (1 dan 2 September), Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar pada 3 September.
“Turut sama adalah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) pada 29 September hingga 3 Oktober,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semua acara pelancongan itu merupakan pengisian sempena TMM 2024, dalam usaha mencapai sasaran 18.7 juta pelancong sempena TMM2024 tahun hadapan.
“Semua program pelancongan yang dirangka sempena TMM2024 meliputi subsektor pelancongan negeri seperti program maraton antarabangsa dan Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2023 yang pastinya dapat menarik ramai peserta dari dalam dan luar negara.
“Setakat ini, sebanyak 40 pasukan melibatkan hampir 500 peserta termasuk dari negara China akan berentap pada perlumbaan perahun naga pada 2 Julai ini,” katanya.
Tambahnya, Majlis Pelancaran TMM2024 dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.
Beliau berkata majlis pelancaran acara sukan kali ke-41 itu, juga akan melibatkan penggiat industri pelancongan di Melaka untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan di Melaka. – MalaysiaGazette.