KUALA LUMPUR – Lima saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman yang berlangsung pada 25
hingga 30 Jun 2023.
Mereka adalah dalam kalangan 635 saintis muda terpilih seluruh dunia akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan bagi bidang Fisiologi/Perubatan.
Lima saintis muda berkenaan adalah Dr Liyana Azmi, 34 (Universiti Sains Islam Malaysia), Dr Norhasmira Mohammad, 33 (Universiti Teknologi MARA), Dr Wong Yin How, 35 (Taylors University), Dr Afifah Mohamed, 33 dan Dr Wong Sok Kuan, 34 (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Malaysia menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 84 saintis muda termasuk peserta tahun ini untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak tahun 2004.
“MOSTI menekankan keperluan untuk memberikan peluang kepada para saintis muda Malaysia untuk turut serta dalam program-program bertaraf global, seperti Mesyuarat Nobel Laureate.
“Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea-idea yang inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik. Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” menurut Menteri MOSTI, Chang Lih Kang.
Sementara itu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata, penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ini merupakan salah satu usaha ASM menerusi kolaborasi antarabangsa dalam memperkasa saintis-saintis muda bagi menyediakan mereka peluang untuk bekerjasama dengan saintis-saintis terkemuka di seluruh dunia.
Ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga dengan antaranya dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan.
Program ini diharap mampu memberi inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat, katanya. – MalaysiaGazette