KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memohon maaf selepas ahlinya mengeluarkan kenyataan berkaitan penjawat awam merupakan beban kepada negara.

Permohonan maaf itu dibuat Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini berikutan kenyataan Jurucakap Gerakan Dun Sungai Pinang, Mok Kok On dikritik pelbagai pihak.

“Penjawat awam bukan beban negara, penjawat awam adalah tulang belakang pada negara kita. Setiap kegiatan harian kita berkait rapat dengan penjawat awam.

“Sebagai semangat satu hati, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, hari ini, saya Mak Kah Keong sebagai Setiausaha Agung ingin memohon maaf kepada kenyataan yang diberikan ahli akar umbi Gerakan itu.

“Saya menyusun sepuluh jari untuk mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penjawat awam. Saya minta maaf,” katanya.

Kah Keong yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan berkata, semua parti komponen PN tidak bersetuju dengan kenyataan Kok On.

Justeru, beliau memohon maaf kepada PN, termasuk Bersatu dan Pas.

Pada masa sama, beliau menegaskan ahli parti perlu menjaga sensitiviti semua pihak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun kritikan, dan tidak mengikut langkah seteru politiknya, DAP.

”Kita bukan DAP. Kita ada perlembagaan parti, kita kena tahu jaga sensitiviti semua kalangan kaum, bangsa dan agama.

”Saya juga faham, kalau nak beri kritikan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri dalam kes ini, sila beri kritikan bernas, tepat pada bahasanya dan fakta.

“Jangan macam kes ini, beri kenyataan yang mengguris hari semua masyarakat rakyat Malaysia,” ujarnya.

Bercakap mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kok On, katanya, ia akan diserahkan kepada lembaga disiplin.

“Saya tak nak pisang berbuah dua kali. Saudara Mok Kok On akan diserahkan kepada lembaga disiplin, biar mereka mengadakan prosedur yang betul supaya dia ada hak bersuara dan mendengar.

“Saya telah berikan amaran keras kepada Kok On, dan kes akan dibawa ke Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Kalau kenyataan ini tiada penjelasan bagus, kita akan gantung (daripada parti),” katanya.

Baru-baru ini Kok On menerusi laman Facebook Gerakan Penang memuatnaik hantaran (yang kemudian dipadamkan) meminta supaya kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam sebagai langkah untuk berjimat. -MalaysiaGazette