Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bercakap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Sebanyak 42 buah Hospital Kluster, gabungan hospital pakar dan bukan pakar, diwujudkan dalam tempoh sedekad sejak 2014.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia melibatkan 146 buah hospital dan kini tiga lagi hospital, iaitu Hospital Kangar (Perlis), Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) dan Hospital Labuan belum mendapat status Hospital Kluster.

“Ketiga-tiga hospital adalah satu-satunya di lokasi itu, dia tiada klinik-klinik kecil berdekatan tetapi apa pun dia masih bekerjasama dengan hospital-hospital lain.

“Contohnya Hospital Kangar bekerjasama dengan Hospital Sultanah Bahiyah (HSA), begitu juga dengan Hospital Sultanah Maliha, ada pesakit yang memerlukan rawatan lanjut kita akan bawa mereka ke seberang.

“Mungkin jika masa depan kalau ada perancangan untuk membina klinik baharu atau hospital baharu dibina akan diklusterkan,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Jelas Zaliha, projek perintis yang dilaksanakan pada 2014 itu melibatkan Hospital Kluster Melaka, Hospital Kluster Pahang Tengah, dan Hospital Kluster Tawau.

“Konsep Hospital Kluster ialah satu inisiatif bagi membolehkan perkhidmatan sesebuah hospital yang sebelumnya bergerak secara individu dan terasing, berintegrasi kepada satu entiti hospital berkelompok yang diterajui oleh hospital berpakar.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian inisiatif itu, Zaliha berkata, terdapat peningkatan penggunaan fasiliti terutamanya di hospital tanpa pakar selain menambah baik waktu menunggu pesakit.

“Sebagai contoh, terdapat peningkatan penggunaan dewan bedah di hospital tanpa pakar melalui pelaksanaan pembedahan katarak daripada tiada kes kepada 100 kes sebulan di Hospital Kluster Kedah Utara yang dilaksanakan di Hospital Jitra (2017).

“Tempoh menunggu bagi pembedahan arteriovenous fistula AVF juga dapat dikurangkan daripada 12 minggu kepada 6 minggu melalui pelaksanaan pembedahan AVF di Hospital Jasin bagi Kluster Melaka.

“Penjimatan melalui pembelian secara pukal juga dapat dilaksanakan melalui penggabungan hospital-hospital ini sebagai sebuah kluster. Penjimatan sebanyak RM1,260,619.03 pada tahun 2019 telah diperolehi melalui pembelian secara pukal bagi item konsumabel di 10 buah Hospital Kluster,” ujarnya. – MalaysiaGazette