Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari raya ketiga dan keempat kepada keluarga penghuni penjara di negara ini.

Kebenaran khas itu termasuk untuk pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam sahaja, kata satu kenyataannya hari ini.

Dua kaedah perjumpaan dibenarkan iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (online/video call) yang mana kaedah secara dalam talian bermula pada hari raya ketiga sehingga kelima.

“Manakala keluarga yang memilih melawat penghuni penjara melalui kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang,” kata kenyataan yang sama.

Ahli keluarga diwajibkan membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sample dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi, para pelawat juga diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

Sementara itu, Jabatan Penjara juga menegaskan, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kerana ia boleh dibeli di kantin dan pemberian wang juga tidak digalakkan memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan.

“Pun begitu, sekiranya pelawat masih ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.

“Pelawat juga adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara.

“Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji sahaja,” tambah kenyataan itu lagi.

Jabatan Penjara juga memaklumkan bahawa tempahan lawatan boleh dibuat menerusi sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my atau menerusi panggilan telefon di institusi berkenaan ataupun melalui kaedah E-mel atau surat ke institusi berkenaan.

Dalam perkara ini, pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat oleh keluarga penghuni bersempena lawatan itu.

Sila hubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia iaitu www.prison.gov.my.-MalaysiaGazette