PBM wanita Larry
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memerintahkan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada perti itu kerana melanggar syarat bon.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas bon yang ditandatangani bekas Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan kontrak yang mengikatnya.

Pada 28 September 2020, PKR melalui Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaman bekas Ketua Wanita PKR itu dan menuntutnya membayar RM10 juta.

Sebelum itu, PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiket parti seperti meletak jawatan atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

PKR mendakwa Zuraida telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, parti itu mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.

Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette