Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada Majlis Pelancaran Rakan Muda Nafas Baru di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penyertaan 1 juta belia berusia 15 hingga 30 bagi program Rakan Muda yang dilancarkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Rakan Muda menyediakan 10 program termasuk dua program baharu yang diperkenalkan tahun ini.

“Yang baharu Rakan Demokrasi dan Rakan Litar kerana sukan permotoran semakin popular dalam kalangan golongan muda.

“Manakala Rakan Demokrasi kerana selepas belia diberikan hak untuk mengundi kita nak pastikan mereka ada aktiviti berterusan seperti pendidikan untuk membantu mereka,” kata Hannah dalam sidang media.

Program lain termasuk Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Rakan Muda yang diperkenalkan pada tahun 1994 diberikan nafas baharu selaras perkembangan teknologi.

“Dengan adanya nafas baru ini agak berbeza dulu semua dapat sijil tetapi sekarang semua guna aplikasi yang ada rakan strategik iaitu Grab, Shopee, Lazada dan Food Panda.

“Belia yang mendaftar akan dapat ganjaran daripada empat aplikasi yang popular ini.

“Ini cara baru untuk kita menarik minat golongan baharu untuk bersama kita dan program Rakan Muda ini akan diperkembangkan lagi di semua kementerian yang mempunyai program belia,” katanya kepada media.

Sementara itu, KBS mengekalkan logo, lagu dan tagline Rakan Muda ‘Yakin Boleh’ versi 29 tahun lalu.

Hannah berkata, ketiga-tiga eleman tersebut yang diperkenalkan sejak awal adalah sempurna dan wajar dikekalkan kecuali penambahan tahun 2023 pada lagu tema.

“Lagu, logo dan tagline dikekalkan. Apa yang tidak rosak, tidak perlu diperbaiki,” katanya dalam ucapan aluan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

Program Rakan Muda menggunakan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk tahun ini dan Hannah berharap bajet bagi program tersebut ditambah tahun hadapan.

Inisiatif Rakan Muda diperkasakan semula oleh KBS dengan objektif untuk menjadi platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan.

KBS juga akan memastikan Rakan Muda dibangunkan dan berkembang secara organik di setiap daerah dan negeri.

Fasa pertama menggalakkan gaya hidup baru dan fasa seterusnya akan melibatkan penambahan dan perkembangan dari semasa ke semasa.

Belia yang berminta boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang KBS atau boleh menghubungi 03-88713724.-MalaysiaGazette