Dua pekerja asing dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini sejak Januari hingga Mei lalu tidak mempunyai pekerjaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berkata, langkah segera sudah dilakukan bagi mengesan ejen yang membawa masuk pekerja berkenaan, selain turut menyenaraihitamkan majikan terbabit.

Bagi menangani isu ini, kementerian sedang membantu pekerja asing ini mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu.

“Ini tumpuan kita dahulu bagi memudahcara mereka yang sudah berada di sini.

“Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian, ini paling ramai dengan kebanyakannya dari Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, seramai 400,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini setakat ini terutama bagi mengisi pekerjaan di lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Kemasukan pekerja asing ini hasil kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi yang dilaksana awal tahun ini.

Namun, kerajaan memerlukan sekitar 100,000 pekerja lagi.

“Kalau lihat daripada jumlah kuota diluluskan dan rekalibrasi yang sudah mendaftar, kita yakin boleh penuhi keperluan tenaga kerja ini, walaupun tidak mencapai sasaran suku pertama, mungkin akan berlaku pada suku kedua,” ujar.

Tambah beliau, biarpun kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.

“Di satu sisi lima sektor ekonomi kritikal mengharapkan pekerja asing, jadi menjadi tugas kerajaan untuk mempermudahkan dari segi polisi.

“Di sisi lain pula, ada juga elemen tidak bertanggungjawab, apabila kita permudahkan, dia bawa masuk dan iklan dalam media sosial, siapa hendak kerja cari mereka dan ini jelas bertentangan dengan dasar kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, perkara tersebut dapat dikesan dengan cepat oleh Kementerian Sumber Manusia yang seterusnya dibincangkan pada mesyuarat hari ini.

“Perkara sebegini memberi kesan kepada rating kita dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang.

“Malaysia berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaru itu, namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan tahap ke tier 2, jadi kita tidak mahu ini menjejaskan usaha terutama dalam membanteras elemen buruh paksa,” katanya. – MalaysiaGazette