Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah demam denggi meningkat sebanyak 200 kes atau 7.7 peratus antara 11 hingga 17 Jun kepada 2,808 kes berbanding 2,608 pada minggu sebelumnya dengan dua kematian.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga tempoh tersebut sebanyak 54,139 kes berbanding 21,688 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 32,451 (149.6%).

Manakala sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurutnya, bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini terus meningkat dengan sebanyak 110 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 110 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 84 lokaliti berada di Selangor, 14 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Kedah serta Pulau Pinang, tiga di Sabah serta satu di Perlis.

Muhammad Radzi berkata, pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan dilakukan oleh semua pihak termasuk ahli masyarakat.

Sebagai langkah proaktif, periksa setiap bekas di dalam dan di luar rumah serta pastikan tiada takungan air untuk nyamuk aedes membiak.

Pastikan barang lusuh yang tidak terpakai contohnya tayar terpakai, baldi terpakai, tong cat terpakai dan lain-lain dilupuskan secara berhemah, selain itu pastikan longkang dan saliran air hujan tidak tersumbat oleh sampah sarap sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat aedes bertelur.

Bagi survelan chikungunya pula, sebanyak dua kes telah direkodkan sepanjang 11 hingga 17 Jun dengan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 137 kes.

Sementara itu, bagi survelan zika, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. – MalaysiaGazette