Dr. Mahathir ketika bertemu pelajar di London. Foto: FB Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sesi pertemuan dengan warga Malaysia di London menegaskan beliau bukan menentang orang bukan Melayu.

Sebaliknya beliau hanya mahu melihat pengagihan kekayaan Malaysia yang adil kepada masyarakat.

“Kami menghargai sumbangan orang bukan Melayu kepada pembangunan Malaysia. Tetapi adalah tidak baik kepada Malaysia jika kita mendapati bahawa orang Melayu adalah rakyat miskin di negara yang makmur.

“Itu bukan sesuatu yang kita fikir baik untuk Malaysia. Itu yang saya buat, kata saya, saya sampaikan kepada rakyat yang tinggal di luar negara. Saya doakan mereka berjaya di masa hadapan,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa, kedudukan orang Melayu dalam politik dan ekonomi pada ketika ini mengakibatkan masalah serius kepada kaum tersebut.

“Sepanjang berada di London, saya bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang sama ada belajar, bekerja atau tinggal di sini. Saya menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi di Malaysia di mana orang Melayu kini bukan sahaja kehilangan prestasi ekonomi tetapi juga kehilangan kuasa politik.

“Mereka kini menjadi parti minoriti dalam kerajaan. Ini boleh mengakibatkan banyak masalah serius kepada orang Melayu,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, pelaksanaan meritokarsi juga mendatangkan masalah kepada orang Melayu terutama dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Katanya, meritokarsi boleh dilaksanakan selepas orang Melayu membangunkan kekuatan yang yang mencukupi.

Menurut Dr Mahathir jurang ekonomi yang besar antara kaum boleh mendatatangkan konflik kepada negara.

“Ini adalah perkara-perkara yang saya perlu ingatkan kepada mereka kerana orang Melayu dan orang Cina ini mesti faham bahawa untuk mempunyai jurang yang sangat besar antara orang Cina kaya dan orang Melayu miskin adalah berbahaya bagi Malaysia kerana ia boleh menyebabkan konflik dan keganasan.

“Jadi apa yang kita cuba lakukan ialah mempertingkatkan inisiatif yang boleh kita berikan kepada orang Melayu buat masa ini sehingga mereka berada dalam kedudukan untuk bersaing dengan orang bukan Melayu,” jelasnya dalam hantaran di media sosial.- MalaysiaGazette