Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mighni bermesyuarat bersama NGO Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) membincangkan isu sekolah agama islam persendirian di Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2023.

SHAH ALAM – Seramai lebih kurang 30,000 pelajar di 55 sekolah agama persendirian seluruh Selangor yang masih belum menerima kelulusan pendaftaran daripada kerajaan negeri dibenarkan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun ini dan 2024.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kebenaran itu sah sehingga kerajaan negeri mewujudkan garis panduan bagi memudahkan proses pendaftaran untuk dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau turut memberi jaminan akan membawa perkara yang sama dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diperincikan.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mighni bermesyuarat bersama NGO Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) membincangkan isu sekolah agama islam persendirian di Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2023.

“Insya-Allah saya akan bawa perkara ini ke MMKN untuk kita memberi lanjutan pendaftaran dan garis panduan bagi memudahkan sekolah-sekolah ini didaftarkan di pihak berkuasa tempatan seterusnya dengan Jabatan Agama Islam Selangor

“Harapan kami agar pelajar di sekolah agama persendirian yang jumlahnya hampir 30,000 dapat perkhidmatan pendidikan yang terbaik di Selangor,” katanya ketika sidang media hari ini.

Terdahulu, Mohd Zawawi mengadakan pertemuan dengan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini bagi membincangkan isu sekolah agama yang yang belum mendapat kelulusan berdaftar meskipun telah membuat permohonan kepada PBT berkali-kali.

Antara sebab permohonan berkenaan adalah tidak memenuhi spesifikasi PBT.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, kerajaan negeri mengutamakan aspek keselamatan pelajar di setiap institusi pendidikan sama ada kerajaan atau persendirian.

Dalam pada itu pertemuan seterusnya akan diadakan antara PBT dengan pengendali Sekolah Agama Persendirian yang belum berdaftar dalam masa yang terdekat bagi mencapai kesepakatan.

Katanya lagi, dalam masa yang sama, semua sekolah yang terlibat dikecualikan daripada membayar kompaun daripada PBT sehingga isu tersebut selesai.

“Kita akan adakan perbincangan lanjut dengan semua PBT dan pihak berkepentingan untuk kita bentuk satu garis panduan sebelum ini kita telah wujudkan dan diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dan MMKN.

“Insya-Allah untuk sekolah agama ini kita cuba bantu sebaik mungkin. Kita akan beri tempoh yang diperlukan dan lihat keperluan proses pendaftaran tempoh setahun dan dua tahun diperlukan bagi mereka menyediakan keperlukan dokumen,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi GASIS, Nik Noor Azlida Husain, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada pihaknya untuk  menyuarakan masalah hari ini.

Pengerusi Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Nik Noor Azlida Husain. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2023.

Katanya, halangan untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran 55 sekolah agama persendirian terlibat menghalang para pelajar menduduki peperiksaan dalam masa yang sama menjejaskan proses pembelajaran mereka.

“Isu yang kami bawa untuk menangkis bahawa sekolah agama persendirian mementingkan perniagaan tapi kami mengutamakan pendidikan,” katanya.

Katanya, majoriti sekolah-sekolah tersebut telah mengemukakan permohonan untuk mendaftar sejak tahun 2020.- MalaysiaGazette